Cadangan Serap 30,000 Guru KAFA ke Jawatan Tetap

KUALA LUMPUR 19 Okt. – Kerajaan diharap dapat mempertimbangkan untuk menyerap kira-kira 30,000 guru Kelas Al-Quran dan Fardu Ain (KAFA) ke jawatan tetap bagi menjamin masa depan dan kerjaya yang lebih baik dalam profesion perguruan.

Datuk Md. Sirat Abu (BN-Bukit Katil) berkata, menerusi penyerapan ke jawatan tetap, kebajikan guru KAFA akan lebih terbela di samping memberi pengiktirafan kepada sumbangan mereka dalam pendidikan agama kepada kanak-kanak.

“Guru KAFA adalah warga pendidik yang memainkan peranan besar dalam pendidikan Islam di negara ini.

“Tugas mereka sangat mulia dalam melahirkan generasi cemerlang ilmu dunia dan akhirat, disamping membentuk akidah dan sahsiah murid-murid dalam membentuk modal insan,” katanya ketika membahaskan Rang Undang-Undang Perbekalan 2012.

Beliau berkata, kebajikan guru KAFA perlu diberi perhatian agar mereka mendapat kemudahan setaraf dengan guru-guru sekolah di bawah Kementerian Pelajaran.

Pada masa kini, guru KAFA berkhidmat menerusi ikatan kontrak dan mereka tidak layak mendapat faedah seperti mana penjawat awam yang mendapat kemudahan perubatan dan pinjaman perumahan. – Bernama


Advertisement