10,000 serbu Karnival Kerjaya Suruhanjaya Perkhidmatan Awam (SPA)

10,000 serbu Karnival Kerjaya SPA

oleh MOHAMAD SHOFI MAT ISA
shofi.isa@utusan.com.my

ORANG ramai melihat papan tanda menyenaraikan peluang pekerjaan pada Karnival Kerjaya SPA di Kuantan, semalam.

 

KUANTAN 4 Okt. – Kira-kira 10,000 pengunjung hadir pada Karnival Kerjaya Suruhanjaya Perkhidmatan Awam (SPA) yang diadakan selama dua hari bermula semalam di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sultan Ahmad Shah (SASICC) di sini.

Karnival dari pukul 9 pagi hingga 5 petang itu dianjurkan sempena Persidangan Suruhanjaya-Suruhanjaya Perkhidmatan Awam Ke-14 bermula semalam dan akan berakhir Khamis ini.

Pegawai Perhubungan Awam SPA, Radziah Mohd. Sharif berkata, sebanyak 21 gerai pameran sektor awam dibuka antaranya oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM), Kementerian Pertahanan dan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia).

“Kesemua sektor awam yang terlibat akan menawarkan lantikan pekerjaan menerusi SPA kecuali PDRM, Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Suruhanjaya Perkhidmatan Pelajaran (SPP) dan SPA Pahang menerusi lantikan sendiri.

“Terdapat dua kaunter permohonan pekerjaan secara atas talian disediakan iaitu SPA8i yang merupakan permohonan melalui SPA dan kaunter Job Malaysia yang merupakan permohonan menerusi Jabatan Tenaga Kerja (JTK),” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di tapak karnival itu di sini, hari ini.

Radziah berkata, selain menyediakan peluang pekerjaan, pihak penganjur turut menjemput pelajar, penuntut institusi pengajian tinggi awam (IPTA) dan swasta (IPTS) untuk mendengar taklimat kerjaya oleh SPA, SPP, PDRM dan ATM.

Dalam pada itu, beliau berkata, Pahang merupakan negeri kedua yang dipilih SPA untuk penganjuran karnival kerjaya pada tahun ini selepas Perlis pada April lalu.

“Untuk tahun ini, hanya Perlis dan Pahang dipilih SPA untuk penganjuran karnival kerjaya di luar Putrajaya,” katanya.


Advertisement