Biasiswa Tanpa Had Untuk Pelajar Malaysia di Universiti Islam Madinah

PUTRAJAYA – Universiti Islam Madinah, Madinah bersetuju menawarkan biasiswa tanpa had kepada pelajar Malaysia untuk mengikuti pengajian dalam beberapa bidang di universiti berkenaan.

Tangkap layar ketika lawatan Zulkifli ke Arab Saudi. Gambar dari Portal KOSMO

Berita gembira itu dikongsi Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Seri Zulkifli Mohamad al-Bakri selepas mengadakan kunjungan hormat ke atas Presiden Universiti Islam Madinah, Madinah semalam.

Zulkifli menerusi hantaran di Facebook hari ini berkata, biasiswa tanpa had itu ditawarkan bagi bidang Syariah, Dakwah dan Usuluddin, Al-Quran dan Pengajian Islam serta Bahasa Arab.

Beliau berkata, biasiswa turut ditawarkan kepada pelajar Malaysia untuk mengikuti pengajian dalam bidang Kejuruteraan, Sains Komputer, Sains, termasuk Perubatan di universiti itu.

“Antara kelebihan biasiswa itu ialah setiap pelajar akan diberikan kemudahan seperti elaun bulanan, perumahan, insurans perubatan dan tiket penerbangan.

“Saya melihat tawaran ini mencerminkan hubungan erat di antara Khadimul Haramain al-Syarifain Raja Salman Abdulaziz Al Saud, Kerajaan Arab Saudi dan Kerajaan Malaysia dalam pelbagai peringkat termasuk pendidikan,” katanya.

Katanya, sebaik pulang ke tanah air nanti, beliau akan mengambil tindakan segera untuk berbincang dengan pihak berkepentingan dalam urusan itu untuk menghantar pelajar terbaik Malaysia bagi mendalami pelbagai bidang ilmu di Kota Suci Madinah al-Munawwarah.

Zulkifli berkata, beliau menjunjung kasih Gabenor Madinah, Yang Mulia Putera Faisal Salman Abdulaziz Al Saud yang telah menitahkan untuk beliau melakukan kunjungan hormat Universiti Islam Madinah.

“Saya disambut oleh Presiden Universiti Islam Madinah, Yang Mulia Putera Mamdouh Saud dan pihak pentadbiran universiti dengan sambutan yang amat baik.

“Titah baginda, “Kami tak ucapkan ‘selamat datang’ kepada anda, tetapi kami ucapkan ‘selamat kembali/kepulangan terpuji dan terhormat’ kerana anda adalah alumni universiti ini,” katanya. – K! ONLINE


Advertisement